Jaafar dapat basikal baru untuk mudahkan pergerakan

188
Jaafar gembira menerima sebuah basikal yang mampu digunakan untuk memudahkan urusan hariannya.

ALOR SETAR -Kisah Jaafar Sirat,59 yang disiarkan di media sosial dan media utama beberapa hari lalu kerana terpaksa menggunapakai pelitup muka sama sejak lapan bulan lalu akibat desakan hidup mendapat perhatian netizen dan beberapa pihak.

Baru-baru ini, YDP Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPS) Kuala Kedah, Amirul Syahir Musa ditemani YDP Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Kedah,Hazwan Haniff bersama Cik Farisha daripada Farisha Beauty telah hadir menyampaikan sumbangan basikal baharu dan barangan keperluan lain kepada Jaafar sekeluarga.

“Basikal ini diharapkan dapat digunakan untuk pakcik jaafar mengangkut air, membeli makanan serta menghantar anaknya ke sekolah,” kata Amirul Syahir semasa melawat Jaafar di Lorong Masjid Batu 3, Tandop, Alor Setar.

Rumah Jaafar hanya ada ruang tamu dan tandas sahaja.

Sementara itu, Jaafar menzahirkan rasa syukur kepada Allah kerana masih ada yang prihatin akan nasibnya dan keluarga dan mengucapkan ribuan terima kasih atas sumbangan basikal dan barangan keperluan tersebut.

Jaafar terpaksa berhenti bekerja pada penghujung tahun 2019 disebabkan isterinya, Sarina Hashim, 35, menghidap kencing manis kronik dan kini sepenuhnya bergantung pada bantuan bulanan zakat sebanyak RM300.

Mereka juga menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM100 untuk anak tunggal mereka, Muhammad Iman Nabihan, 10.

Lebih menyedihkan kediaman mereka juga hanya ada ruang tamu dan tandas sahaja dan mempunyai impian untuk mencari kediaman lebih selesa namun disebabkan oleh kekangan hidup mereka hanya mampu memendamkan perasaan sahaja.

Bagi mereka yang mahu membantu keluarga ini, boleh menghubungi Jaafar menerusi nombor 01112426279 atau menyalurkan bantuan ke nombor akaun BSN (0210041000284684).