Friday, 29, March, 2024
Utama Negeri Dua kali notis diserahkan sebelum roboh kuil di Taman Bersatu

Dua kali notis diserahkan sebelum roboh kuil di Taman Bersatu

oleh Ammar Haziq

Alor Setar, 10 Disember 2020 – Majlis Bandaraya Alor Setar telah menjalankan Operasi Tindakan Penguatkuasaan Ke Atas Binaan Tanpa Kebenaran MBAS Di Atas Kawasan Lapang Taman Bersatu, Alor Setar pada 1 Disember 2020.

Operasi ini dijalankan menurut Seksyen 46 (1) (a) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133). Sebanyak EMPAT (4) buah binaan telah dirobohkan pada operasi ini iaitu sebuah tokong hindu, sebuah gelanggang silat dan dua buah garaj kereta.


Notis pertama telah dikeluarkan pada 2 Disember 2019 kepada penjaga tokong hindu di atas kesalahan mendirikan sebuah tokong hindu tanpa kebenaran di tempat awam dan arahan notis supaya penjaga tokong merobohkan binaan tokong hindu dalam tempoh TUJUH (7) hari dari tarikh notis.

Binaan masih tidak dirobohkan oleh penjaga tokong selepas tempoh TUJUH (7) hari tamat. Notis pertama ini telah diserahkan secara serahan tangan kepada Somaslindram a/l Latchumanan.


Notis kedua telah dikeluarkan pada 29 Julai 2020 kepada penjaga tokong hindu di atas kesalahan mendirikan sebuah tokong hindu tanpa kebenaran daripada MBAS dan arahan notis supaya penjaga tokong merobohkan binaan tokong hindu dalam tempoh TIGA (3) hari dari tarikh notis.


Binaan masih tidak dirobohkan oleh penjaga tokong selepas tempoh TIGA (3) hari tamat. Notis kedua telah diserahkan secara serahan tangan kepada Parameswari a/p Puvenesvaran.


Notis kepada Persatuan Seni Silat Bunga Negeri Kedah telah dikeluarkan pada 2 November 2020 di atas kesalahan mendirikan dan membina pagar di kawasan lapang dan menyebabkan halangan di tempat awam dan arahan notis supaya Persatuan Seni Silat Bunga Negeri Kedah meruntuhkan binaan tersebut dalam tempoh TUJUH (7) hari dari tarikh notis.

Binaan masih tidak dirobohkan oleh Persatuan Seni Silat Bunga Negeri Kedah selepas tempoh TUJUH (7) hari tamat. Notis telah diserahkan secara tampalan di binaan tersebut.

Notis kepada pemilik-pemilik garaj kereta telah dikeluarkan pada 22 November 2020 di atas kesalahan mendirikan bangsal (tempat letak kereta) di atas kawasan lapang tanpa kebenaran dan arahan notis supaya mengubah dan mengalihkan bangsal dalam tempoh SATU (1) hari dari tarikh notis.

Binaan masih tidak dirobohkan oleh pemilik-pemilik garaj kereta selepas tempoh SATU (1) hari tamat. Notis telah diserahkan secara serahan tangan kepada pemilik-pemilik garaj kereta.


Operasi pada kali ini bertujuan untuk memastikan orang awam mematuhi Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 agar tiada apa-apa binaan atau struktur tanpa kebenaran didirikan di atas kawasan lapang atau mana-mana tempat awam.

MBAS memohon kepada mana-mana orang atau pihak yang mendirikan apa-apa binaan atau struktur di atas kawasan lapang tanpa kebenaran MBAS untuk menanggalkan atau meruntuhkan binaan atau struktur tersebut dengan sendiri sebelum MBAS mengambil tindakan penguatkuasaan.


MBAS sentiasa bertindak serius berkaitan aspek pembinaan dan halangan di tempat awam bagi memastikan keselesaan dan kesejahteraan orang awam yang menggunakan kawasan lapang dan tempat awam.


Dikeluarkan oleh:
Majlis Bandaraya Alor Setar
10 Disember 2020

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com