Friday, 19, April, 2024
Utama Negeri Nelayan jatuh bot ditemui lemas

Nelayan jatuh bot ditemui lemas

oleh Ammar Haziq
Jenazah mangsa ditemui kira-kira 8.10 pagi hari ini.

TANJUNG DAWAI – Seorang nelayan tempatan dilaporkan hilang selepas bot dinaiki bersama abangnya dirempuh sebuah bot di muara sungai berdekatan jeti Pengkalan Segantang Garam Merbok, ditemui lemas hari ini.

Mayat Zulkifli bin Mohamad, 52, ditemui jam 08.10 pagi kira-kira dua kilometer dari tempat mangsa dipercayai terjatuh oleh sebuah bot nelayan tempatan yang turut melakukan pencarian di lokasi mangsa ditemui.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Ahmad Faizal bin Ahmad berkata, operasi yang memasuki hari kedua membabitkan empat agensi penyelamat dan beberapa bot nelayan berhampiran.

Beliau berkata, operasi hari ini membabitkan aset lima bot, dua daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) , tiga buah bot masing-masing sebuah bot dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ahli keluarga mangsa yang berada di lokasi gagal menahan kesedihan.

“Operasi membabitkan seramai 32 anggota dan pegawai serta lebih 60 orang nelayan tempatan yang turut membantu dalam pencarian.

“Mayat diserahkan kepada pihak PDRM untuk dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk tindakan lanjut,”katanya.

Dalam kejadian 18 September lalu mangsa Zulkifli bin Mohamad dilaporkan hilang setelah bot yang dinaiki bersama abangnya dirempuh oleh sebuah bot. Mangsa dipercayai terjatuh ke dalam laut ketika rempuhan berlaku.

Dalam masa yang sama komuniti maritim juga turut diingatkan sentiasa berwaspada dengan cuaca dan keperluan memiliki Personal Locator Beacon (PLB) sebagai alat tambahan ketika menghadapi kecemasan di laut, yang mana alat berkenaan dapat membantu menyingkatkan tempoh masa pencarian dengan menghantar isyarat kecemasan berserta lokasi.

Maritim Malaysia selaku agensi yang mengkoordinasikan operasi SAR ini merakamkan jutaan penghargaan kepada semua yang terlibat.

Beliau berkata, sebarang maklumat mengenai kemalangan atau kecemasan di laut boleh dihubungi melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com