Saturday, 20, April, 2024
Utama Negeri Kes positif Covid-19, KMC lakukan pembersihan kuman secara rapi

Kes positif Covid-19, KMC lakukan pembersihan kuman secara rapi

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR – Kedah Medical Centre (KMC) menjadualkan semula perkhidmatan pembedahan dan surgeri bermula pada hari Ahad, (6 September) hingga Selasa, (8 September 2020) untuk membolehkan hospital melakukan pembersihan dan pembasmian kuman di Bilik Bedah secara terminal dan menyeluruh berikutan kes Covid-19 yang disahkan di kalangan wargakerja hospital.

Perkhidmatan lain termasuk pesakit luar dan pesakit dalam beroperasi seperti biasa.

KMC ingin mengesahkan disini bahawa dua individu telah diuji positif untuk Covid-19. Kes indeks adalah wargakerja yang mengalami gejala dan pemeriksaan RTK-Antigen yang telah dilakukan pada 5 September menunjukkan keputusan positif.

Kes kedua melibatkan wargakerja lain yang merupakan kontak rapat kes indeks. Kedua-dua individu tersebut telah dirujuk ke hospital Kementerian Kesihatan untuk rawatan dan pemeriksaan lanjutan PCR Covid-19 mengesahkan keputusan positif.

Pembersihan dan pembasmian kuman telah dilakukan secara teliti di seluruh kawasan yang terlibat. Pihak KMC bersama dengan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengambil tindakan segera dan teliti mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Anggota kesihatan dan wargakerja hospital serta individu yang pernah mempunyai kontak rapat dengan kes indeks dan kes kedua turut dikesan dan dihubungi dengan serta-merta.

Hospital akan meneruskan pembasmian kuman terminal dan pembersihan dari semua kawasan yang terjejas dan akan terus berwaspada tinggi dan mematuhi SOP dengan tegas untuk melindungi demi menyediakan persekitaran yang selamat untuk kakitangan, doktor, pesakit dan semua pelawat yang mengunjungi hospital.

KMC memberi jaminan kepada orang ramai bahawa kami mengambil semua langkah yang diperlukan untuk menyediakan persekitaran yang selamat untuk pesakit, pelawat, doktor serta wargakerja kami.

Protokol keselamatan ketat KMC termasuk mempunyai stesen pemeriksaan di semua pintu masuk demi memastikan semua pesakit, wargakerja dan pelawat disaring secara menyeluruh mengikut garis panduan KKM.

Melangkah ke hadapan, KMC akan terus bekerjasama dengan pihak Kementerian Kesihatan untuk memastikan keadaan dipantau secara rapi dan berterusan.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com