Friday, 26, April, 2024
Utama Sukan Presiden KFA tidak dapat khidmat nasihat sewajarnya?

Presiden KFA tidak dapat khidmat nasihat sewajarnya?

oleh Ammar Haziq
Foto KFA.

Berikut adalah nukilan Bekas Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Asmirul Anuar Aris;

Sekali lagi Kedah Football Association(KFA) di landa wabak menuding jari antara satu sama lain setelah kerajaan bertukar di pertengahan jalan.

Di antara persoalan yang di timbulkan Presiden KFA yang baru ialah jumlah hutang yang perlu di bayar. Beliau menegaskan tidak mahu bertanggung jawab di atas hutang yang di tinggalkan.

Saya tersenyum sendirian memikirkannya. Adakah Presiden KFA sekarang tidak mendapat khidmat nasihat yang sewajarnya dari pegawai sekeliling atau kemungkinannya tidak mendapat nasihat guaman?

Apabila anda mengambil alih sesebuah Syarikat, Persatuan mahupun Kerajaan atau dengan kata lain telah bertukar tangan pihak pengurusan maka segala perjanjian, liabiliti, hutang dan pengurusan aset akan turut berpindah tangan.

Pihak yang berkenaan perlu berusaha menjelaskannya. Tidak timbul kenapa pengurusan yang lama tidak menjelaskannya kerana amanah dan tanggung jawab tersebut telah di rampas di pertengahan jalan pemerintahan.

Pemain menandatangani kontrak dengan Persatuan bukan dengan pihak pengurusan. Adalah menjadi tanggung jawab Presiden selaku ketua di sesebuah organisasi untuk bertindak mencari jalan penyelesaiannya bukan dengan cara menuding jari kepada pengurusan lama.

Antara yang menjadi persoalan ialah jumlah gaji pemain. Memandangkan Kedah layak ke Piala AFC 2020, dengan kesungguhan KFA untuk mengangkat martabat bolasepak negeri Kedah ke peringkat Asia maka sejumlah perbelanjaan telah di naikkan.

Pembelian Kpah dan Kipre menjadi keutamaan kerana Kedah perlu memantapkan jentera serangan berikutan dengan kegagalan saingan final Piala Malaysia 2019. Jumlah gaji yang di terima tidaklah sebagaimana yang di gemburkan.

Umum menyedari bahawa bolasepak ialah sukan utama di Negeri Kedah. Satu-satunya riadah peminat yang tidak dapat hendak di kesampingkan. Itulah wajah keceriaan orang Kedah. Kegembiraan melangkah ke final kebanggaan rakyat negeri.

Justeru itu perbelanjaan menaik taraf kemudahan sukan bolasepak harus di naikkan. Ini termasuklah perbelanjaan menguruskan kewangan KFA ke atas Piala Presiden, Piala Sharifah Rodhiah(wanita), Piala Belia, Kenari Kids, Helang Muda dan Futsal.

Soal tiada kemampuan tidak timbul kerana kami pada ketika itu amat berkeyakinan untuk menjelaskan jumlah keseluruhan. Apakah perlu untuk kita membiarkan mutu bolasepak negara/negeri masih di takuk lama sedangkan pihak Kerajaan bersikap bagaikan melepas batuk ditangga?

Menjelang 2018, antara penambah baikan yang telah di buat ialah penambahan ahli mensyuarat pengurusan KFA dengan melantik wakil PDRM dan SPRM turut bersama.

Jika wujudnya penyelewengan yang di rasakan dari kalangan pihak pengurusan yang lama, saya tidak teragak-agak untuk menyokong pihak Presiden KFA sekarang agar suatu tindakan segera wajib di ambil.

Tiada siapa pun yang inginkan penyelewengan di tutup rapat. Demi sukan harum negeri. Bukan demi sukan penyelewengan berlaku.

Jangan biarkan bola sepak di Kedah menyusuri jalan-jalan mendung hingga kembali menitip pulang ke zaman kegelapan. Rakyat menanti penuh pengharapan agar zaman kegemilangan sentiasa bersinar tidak akan pudar ditelan waktu.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com