PN Kedah sasar sapu bersih semua kerusi PRU15

3411
Muhammad Sanusi (dua kanan) melahirkan keyakinan itu berdasarkan keputusan PRU14 terhadap Pas, UMNO dan Bersatu di Kedah.

ALOR SETAR – Sokongan yang semakin baik yang ditunjukkan oleh rakyat terhadap Perikatan Nasional (PN) selain penolakan terhadap Pakatan Harapan (PH) menjadi ukuran mereka mampu menang besar pada PRU15 jika diadakan dalam masa terdekat ini.


Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, PN Kedah yakin sapu bersih semua 15 Parlimen dan 36 DUN di negeri ini berdasarkan situasi tersebut.


Beliau berkata demikian menjawab kenyataan Pengerusi PH Kedah, Datuk Johari Abdul meletakkan sasaran memenangi lebih daripada 7 kerusi Parlimen yang dimiliki mereka ketika ini jika PRU diadakan dalam masa terdekat.


“Sasaran PN Kedah adalah menguasai 15 Parlimen dan 36 DUN. Perkara ini adalah bersandarkan realiti politik sekarang kerana orang dah tak boleh terima Pakatan Harapan (PH) dan sambutan pada PN juga sangat hebat.


“Jumlah undi yang diterima oleh parti-parti (BN, Pas dan Bersatu) kalau kita ambil berdasarkan PRU14, campur semua yang ada, habislah depa (PH),” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Pejabat Daerah dan Tanah Padang Terap, semalam.


Sabtu lalu, Johari berkata,  rakyat mahu perubahan berlaku seperti yang berlaku pada PRU14 lalu apabila mandat dikembalikan selain berlaku perubahan di tampuk pemerintahan negara.