Tengok kenderaan pelanggan baru letak harga durian

596

KUANTAN – Usyar naik kereta apa baru letak harga durian.

Itu taktik yang digunakan segelintir peniaga durian tepi jalan yang dikesan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pahang baru-baru ini.

Mereka berani tidak meletakkan tanda harga walaupun mengetahui ia menjadi kesalahan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pahang, Ahmad Fitri Ali, mengakui ada peniaga durian dikesan mengambil kesempatan menjual pada harga berbeza mengikut jenis kenderaan pelanggan yang singgah untuk membeli.

“Harga durian akan naik dua hingga tiga kali ganda jika pelanggan yang singgah menggunakan kenderaan mewah, bertujuan mengaut keuntungan berlipat ganda.

“Bagi memastikan peniaga tamak tidak terus mengambil kesempatan, KPDNHEP melakukan pemeriksaan terhadap semua pusat jualan durian tepi jalan di negeri ini terutama di Kuantan, Jerantut, Bentong, Lipis, Raub dan Temerloh yang rancak dengan aktiviti jualan.

“Kita akan mengenakan kompaun RM1,000 mengikut Perintah 3 (1), Perintah Kawalan Harga (Penandaan Harga Oleh Penjual Runcit) 1993 sekiranya peniaga yang gagal mempamerkan tanda harga,” katanya ketika dipetik menerusi portal Berita Harian. – KG