Wednesday, 24, April, 2024
Utama Nasional MPC utara gesa peniaga urus kewangan dengan cekap bantu melonjakkan produktiviti

MPC utara gesa peniaga urus kewangan dengan cekap bantu melonjakkan produktiviti

oleh Ammar Haziq

PULAU PINANG -Mengambil iktibar kesan penularan wabak Covid-19 terhadap peniaga, Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Wilayah Utara menganjurkan sesi perkongsian ‘Seni Urus Kewangan’ menerusi dalam talian semalam.

Program yang membincangkan tajuk “Isu Moratorium Pinjaman dan Pembiayaan Bank Untuk Peniaga” bermula jam 10.30 pagi hingga 11.30 pagi disertai oleh pemain industri terbabit secara maya. Pengurusan kewangan yang baik merupakan penentu kepada peningkatan produktiviti dan seterusnya menjana pertumbuhan negara.

Ahli panel Encik Hasanul Israq Mohd Joaini iaitu Ketua Unit Agrobank Centre of Excellence diberi kepercayaan untuk mengupas mengenai tajuk berkenaan secara lebih terperinci.

Dalam sesi perkongsian itu, Hasanul Israq membicarakan mengenai cara terbaik mengurus kewangan, panduan dokumentasi perniagaan dan bagaimana pihak bank menilai permohonan pinjaman.

Beliau turut menyentuh kepentingan pemain industri khususnya kecil dan sederhana untuk memiliki penyata kewangan dan pengurusan perniagaan yang baik.

Dalam pada itu, Hasanul Israq turut memberi nasihat agar pemain industri bijak mengenepikan faktor emosi dalam pengurusan perniagaan yakni wang perniagaan tidak boleh dihabiskan untuk kegunaan peribadi.

Pemilik perniagaan perlu mempunyai prinsip 3M iaitu merancang, merekod dan menganalisa bagi memastikan pengurusan dana atau wang syarikat digunakan secara efektif dan cekap bagi mencapai objektif perniagaan.

Hasanul Israq turut memberi contoh terdapat syarikat membuat jualan RM20 juta namun tidak memiliki rekod perniagaan berikutan hanya memberi fokus untuk menjana kewangan dan bukan mengurus kewangan.

Justeru, beliau berharap peniaga perlu produktif dan menambah ilmu kemahiran mengurus kewangan demi kelangsungan perniagaan di masa hadapan.

Katanya, skor pemarkahan kredit yang digunakan institusi kewangan berfungsi sebagai petunjuk terhadap peluang untuk mendapatkan kelulusan pembiayaan pinjaman.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com