Komuniti kekal produktif, MPC perkasa ‘home agro’ secara dalam talian

216
Nazrul berkongsi ilmu berkaitan natural farming yang boleh dilakukan oleh semua orang di kediaman masing-masing.

PULAU PINANG-Bagi memastikan rakyat Malaysia terus produktif ketika penularan wabak Covid-19 yang belum tamat, Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Wilayah Utara mengambil inisiatif mengadakan program home agro atau ‘natural farming’ menerusi dalam talian.

Encik Nazrul Azam Man dari Qadijah Natural Farm, pengusaha dan pakar di dalam ‘natural farming’ telah berkongsi pelbagai ilmu mengenai tanaman serta kaedah berkebun secara produktif dengan menggunakan bahan yang sedia ada dan mudah didapati.

Perkongsian selama satu jam ini bersiaran secara langsung menerusi Facebook Perbadanan Produktiviti Malaysia Wilayah Utara semalam.

Dalam sesi itu,  beliau juga menekankan bahawa ‘natural farming’ merupakan sistem pertanian yang mampu dihasilkan hanya dari rumah bermula dari penghasilan baja, ubat kawalan penyakit dan perosak serta penghasilan benih. 

Antara penekanan yang diberikan oleh beliau adalah ‘Natural farming’ adalah konsep pertanian yang diusahakan sendiri input-input pertaniannya seperti menghasilkan baja, menghasilkan biji benih termasuk kawalan perosak dan kawalan penyakit.

“Sasaran saya dalam dua minggu ini adalah peserta yang mengikuti sesi live ini boleh hasilkan sendiri laman, tidak perlu lagi beli keperluan berkaitan seperti baja dan biji benih.

“Untuk minggu ini, kita akan pelajari iaitu merancang laman kita. Apa yang kita perlu adalah cahaya matahari, air, tanaman itu sendiri dan juga tanah,”katanya pada sesi perkongsian atas talian tersebut.

Sesi ini dikendalikan oleh Nursyahida Muhamad Aszahari dari MPC Wilayah Utara.

Rata-rata peserta yang menonton perkongsian itu sangat teruja untuk terus melaksanakan sendiri ‘home farming’ dan secara tidak langsung menghasilkan individu yang kreatif, produktif dan proaktif. 

Siri seterusnya akan diadakan pada 30 Jun 2020 dan 10 Julai 2020 dengan topik DIY- Baja Asas Natural Farming dan Kawalan Perosak Tanaman Yang Efektif.

MPC Wilayah Utara akan terus mengadakan lebih banyak program-program perkongsian amalan baik dalam bidang produktiviti, inovasi, kreativiti dan daya saing untuk memperluaskan budaya produktiviti dalam kalangan rakyat Malaysia.