Saturday, 27, April, 2024
Utama Umum UMNO Kedah tidak puas hati lantikan penyelaras DUN

UMNO Kedah tidak puas hati lantikan penyelaras DUN

oleh Wartawan Kedah Gazette
Bangunan UMNO Kedah di Alor Setar – Gambar hiasan

ALOR SETAR – UMNO Kedah difahamkan tidak berpuas hati dengan pembahagian kerusi penyelaras DUN dan mempersoalkan kewajaran Pengerak Komuniti Negara (PKN) turut diberi kerusi berkenaan.

Daripada 13 kerusi, UMNO hanya diperuntukkan empat kawasan iaitu Kota Siputeh, Derga, Kota Darul Aman dan Kubang Rotan.

MCA yang mewakili Barisan Nasional (BN) pada kerusi Kota Darul Aman pada siri pilihan raya umum yang lepas dilaporkan telah memohon kerusi penyelaras DUN kawasan berkenaan.

Sementara satu lagi komponen BN iaitu MIC tidak diberi sebarang kerusi walaupun telah sering kali bertanding di DUN Bukit Selambau.

Paling mengecewakan UMNO adalah kawasan Suka Menanti yang lima penggal di khidmat bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah diserahkan kepada PKN.

Menurut sumber dalaman UMNO Kedah, walaupun secara asasnya pembahagian itu menyaksikan UMNO mempunyai bilangan kerusi terbanyak tetapi ia tidak memberi gambaran yang adil tentang kekuatan parti berkenaan.

Berdasarkan senarai berkenaan, UMNO melebihi satu kerusi berbanding Parti Bersatu, Pas dan PKN yang masing-masing diperuntukkan tiga kerusi.

Bersatu di kerusi DUN Jitra, Bukit Selambau dan Bakar Arang, Pas di kerusi Alor Mengkudu, Anak Bukit dan Pengkalan Kundor.

Tiga kerusi PKN adalah di Suka Menanti, Gurun dan Kulim.

Jawatan penyelaras DUN diwujudkan di kawasan ADUN pembangkang, yang bertujuan membolehkan kerajaan negeri menjaga kebajikan rakyat menerusi wakil khusus mereka.

Mesyuarat pembahagian kerusi berkenaan telah diadakan pada Ahad lepas di Seri Mentalon yang dihadiri pemimpin utama UMNO, Pas, Bersatu dan turut dihadiri PKN.

UMNO difahamkan diketuai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

“Saya difahamkan pemimpin tertinggi UMNO Kedah minta perundingan diadakan semula supaya lebih adil pembahagian kerusi berkenaan,” kata sumber berkenaan sambil menjelaskan isu berkenaan mungkin dibawa ke peringkat pusat sekiranya penyelesaian tidak dapat diatasi diperingkat negeri.

Sumber berkenaan mempersoalkan mengapa peranan yang begitu penting diberikan kepada PKN, sedangkan ia bukan parti politik yang membentuk Perikatan Nasional (PN).

Katanya, sebelum ini dalam pembahagian kerusi Ahli Majlis di kesemua 12 Pihak Berkuasa Tempatan, PKN telah diberi kerusi yang banyak iaitu 37 daripada 194 kerusi.

Dan sekarang katanya, PKN diberi lagi tiga kerusi penyelaras DUN.

“PKN ini bukan parti politik berdaftar, hanya sekadar NGO cenderung kepada bekas pimpinan PKR yang telah meninggalkan parti itu. Sepatutnya kerusi mereka adalah bawah Bersatu,” kata beliau.

Mengulas sentimen kerusi DUN Suka Menanti, sumber itu berkata ia adalah kerusi legasi cemerlang perkhidmatan Ahmad Bashah.

UMNO perlu bertegas, UMNO patut terus berkhidmat di situ bagi meneruskan perjuangan bekas Menteri Besar berkenaan, kata sumber itu. – KG

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com