Wednesday, 17, April, 2024
Utama Nasional Gugur Sri Ram dari tugas pendakwaan

Gugur Sri Ram dari tugas pendakwaan

oleh Wartawan Kedah Gazette
Mohd Rawi menunjukkan salinan laporan polis terhadap Sri Ram di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar petang tadi.

ALOR SETAR – Bekas Exco Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid mendesak pihak kerajaan mengugurkan Gopal Sri Ram daripada menjalankan tugas pendakwaan dengan segera kerana integriti bekas hakim itu telah tercemar berikutan pendedahan satu komplot baru-baru ini.

Mohd Rawi berkata, tugas Sri Ram harus ditamatkan dalam sebarang kes perbicaraan melibatkan 1MDB dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau yang membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar petang tadi juga mendesak pihak mahkamah membatalkan segala hasilan dapatan perbicaraan 1MDB yang melibatkan Gopal sebagai pendakwa raya.

Selain itu, katanya, laporan polis itu juga meminta polis menjalankan siasatan terhadap Sri Ram dan pihak-pihak lain seperti anggota polis dan perundangan yang berkomplot mahu menjatuhkan Najib daripada jawatan Perdana Menteri sewaktu itu.

“Laporan polis itu dibuat atas tanggungjawabnya selaku pengamal undang-undang dan warga yang gelisah dengan pendedahan tentang komplot berkenaan.

“Kita mahu tindakan diambil terhadap mereka yang berkonspirasi tahap tertinggi mahu menjatuhkan kerajaan yang sah dipilih rakyat,” kata beliau selepas membuat laporan polis itu.

Beberapa hari lepas, bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali membuat pendedahan mengejutkan bahawa Sri Ram ada menemuinya pada tahun 2018 bagi mengajaknya melibatkan diri dalam komplot menangkap Najib.

Apandi mendedahkan kedatangan Sri Ram berkenaan adalah atas permintaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mohd Rawi menambah, pendedahan Apandi itu sesuatu yang amat serius yang boleh mengugat keselamatan negara sekiranya tiada tindakan tegas diambil terhadap semua pihak yang terbabit. – KG

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com