Thursday, 28, March, 2024
Utama Politik Rawi mahu kembali ke pangkuan UMNO

Rawi mahu kembali ke pangkuan UMNO

oleh Wartawan Kedah Gazette
Mohd Rawi (kanan) bergambar bersama Nawawi baru-baru ini.

ALOR SETAR – Bekas Exco kerajaan negeri, Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid telah memohon untuk menyertai semula UMNO selepas dua tahun meninggal parti.

Beliau menyerahkan surat permohonan rayuan menjadi ahli kepada Ketua UMNO Bahagian Langkawi, Datuk Ir Nawawi Ahmad semasa berkunjung ke rumah Nawawi pada hari ketiga perayaan Aidilfitri baru-baru ini.

Permohonan itu kemudian akan dibawa kepada Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah dan seterusnya kepada Majlis Tertinggi UMNO.

Turut memohon menyertai semula UMNO adalah bekas Naib Ketua Puteri UMNO Bahagian Langkawi, Nur Aini Ahmad Ridzuan, Abdul Razak Mohd Rafie dan Kamarudin Md Isa.

Bercakap kepada Kedah Gazette, Mohd Rawi yang merupakan bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Langkawi berkata beliau ikhlas menyertai kembali parti bagi memperjuangkan kepentingan bangsa serta tidak mengharapkan apa-apa jawatan.

“Niat saya ikhlas membantu parti, memperkasa bangsa, memperjuang kepentingan masyarakat. Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan bulan Ramadan ini saya melakukan solat istikarah, tidak henti-henti berdoa dan membaca Quran bagi mendapat petunjuk dari Allah. Syukur saya mendapat petunjuk kembali kepada UMNO”.

“Saya juga telah berjumpa Presiden, Datuk Seri Zahid Hamidi, Naib Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, sifu politik saya, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah bagi memohon maaf dan menyatakan hasrat kembali kepada UMNO. Mereka menyatakan restu dan meminta saya terus berjuang,” katanya.

Beliau juga beberapa kali bertemu dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi membincang perkara berkenaan selain meminta maaf kerana meninggalkan parti.

“Kali pertama saya bertemu dengan Najib semasa beliau bercuti aidilfitri di Langkawi tahun lepas dan beberapa kali lagi selepas itu. Beliau memberikan nasihat yang sangat menyentuh hati,” katanya sambil mengakui tindakan meninggalkan parti telah menguris hati, menimbulkan kemarahan banyak pihak.

Malahan beliau menyedari tindakan kembali kepada UMNO juga menimbulkan reaksi penolakan sebilangan pihak.

“Ya saya sedar, ramai pihak marah semasa saya tinggalkan parti dan sekarang ada yang sinis dan reaksi negatif dengan permohonan saya.

“Saya pohon kemaafan dengan tulus ikhlas atas kesilapan dahulu, saya khilaf buat keputusan. Sekarang saya menyedari kesilapan itu, mahu menebuskan kembali kesilapan dan kembali membantu dengan semangat baru yang lebih kuat,” kata beliau.

Beliau berkata keputusan meninggalkan parti pada Disember 2018, iaitu selepas enam bulan kalah pada pertandingan kerusi Ketua UMNO Bahagian Langkawi, adalah atas dasar peribadi.

Selepas keluar daripada UMNO katanya, beliau kekal bebas kerana tidak tergamak menyertai parti lain kerana hati masih lagi kasih kepada UMNO yang telah disertai sejak sekian lama dengan pelbagai jawatan.

“Saya berharap kembali saya diterima dengan terbuka. Kita buka lembaran baru, tutup luka lama,” katanya. – KG

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com