Wednesday, 24, April, 2024
Utama Umum Kerajaan Kedah disaran tuntut royalti beras, hasil hutan

Kerajaan Kedah disaran tuntut royalti beras, hasil hutan

oleh Wartawan Kedah Gazette
Kerajaan Pusat perlu menghargai negeri Kedah yang mengekalkan lebih 115,000 hektar tanah sawah sebagai kawasan strategik makanan negara. – Gambar hiasan

ALOR SETAR – Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri akan mengemukakan kembali cadangan agar kerajaan negeri menuntut royalti beras dan hasil hutan daripada kerajaan Persekutuan.

Menurut Syed Mohd Johan Rizal, pada tahun 2018, beliau pernah mencadangkan kerajaan negeri menuntut pampasan ataupun satu bentuk royalti padi daripada kerajaan Pusat berikutan pengorbanan yang perlu dilakukan negeri ini bagi mengekalkan sektor pembekalan beras negara terjamin.

Katanya, cadangan tersebut bukan perkara baru kerana ia pernah diperjuangkan Menteri Besar sebelum ini iaitu Datuk Seri Syed Razak Syed Zain dan Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Syed Mohd Johan Rizal

“Namun cadangan berkenaan tidak mendapat tindakan susulan, baik daripada kerajaan negeri mahupun kerajaan Pusat ketika itu.

“Dengan perubahan kerajaan peringkat Persekutuan dan Negeri Kedah, dan sifat keterbukaan kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, saya membawa kembali cadangan agar kerajaan negeri berusaha menuntut royalti beras berkenaan. Ini adalah masa terbaik bagi menuntuk hak Kedah yang sepatutnya sudah lama dinikmati,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan di sini hari ini.

Syed Mohd Johan Rizal memberitahu, begitu juga, royalti tersebut juga terpakai pada hasil hutan kesan daripada tuntutan keperluan berikutan pendedahan Menteri Besar Muhamad Sanusi Md Nor tentang bayaran pampasan RM1.5 bilion yang dituntut pemegang konsesi bertujuan ganti rugi konsensi balak yang dibatal sebelum ini, sedangkan arahan pembatalan itu datangnya dari kerajaan Pusat.

Tegasnya, kerajaan Pusat tidak boleh ambil sikap berdiam diri dalam isu ini sedangkan Kedah ‘berkorban” besar untuk tujuan ini.

khazanah balak yang bernilai berbilion ringgit tidak boleh dimanfaatkan meskipun kerajaan negeri punyai bidang kuasa mengubah status hutan simpan.

“Mereka perlu campur tangan dengan turut berbincang dengan pembalak pembalak ini bagi mencari jalan tengah dalam situasi menang-menang bagi kedua dua pihak.

“Bila adanya bayaran royalti ataupun pampasan, pasti polemik pembalakan tidak timbul lagi kerana Kedah sudah mempunyai pendapatan yang tetap hasil pengorbanan negeri selama ini,” tambahnya.

Beliau menjelaskan, royalti beras ini sama seperti mana royalti minyak yang diperolehi oleh negeri Terengganu, Sabah dan Sarawak.

Katanya, bagi mengekalkan status Jelapang Padi Negara, Kedah terpaksa berkorban sejak puluhan tahun bagi terpaksa mengekalkan tanah sawah, hutan dan pengairan kepada negeri jiran.

Sejak itu, menurutnya, kerajaan negeri kehilangan puluhan bilion ringgit akibat pengorbanan atas tanah sawah dan pengairan berkenaan dengan anggaran purata kehilangan pendapatan adalah antara RM100 juta hingga RM150 juta setahun.

“Kerajaan negeri juga kehilangan pendapatan kerana tidak dapat menebang balak bagi memastikan kawasan tadahan hujan bagi kegunaan empangan yang menyalurkan air ke Pulau Pinang dan Perlis tidak terjejas.

“Kerajaan negeri juga kehilangan pendapatan kerana tanah sawah tidak boleh dimajukan sebagai kawasan komersil, melainkan sedikit kawasan yang dibenarkan.

“Kerajaan Pusat perlu menghargai negeri Kedah yang mengekalkan lebih 115,000 hektar tanah sawah sebagai kawasan strategik makanan negara selain 300,000 hektar hutan simpan di Pedu dan Ulu Muda bagi memastikan bekalan air untuk sumber minuman dan pertanian bagi Kedah, Pulau Pinang dan Perlis.

“Tindakan berkenaan merugikan Kedah dari sudut pulangan ekonomi,” ujarnya lagi.

Mengikut dasar sekarang, jelasnya, Kedah harus mengekalkan keluasan tanah sawah sebagai “food security” dan ia tidak boleh dikomersialkan sewenang-wenangnya bagi tujuan perumahan dan industri meskipun urbanisasi kian meluas dalam konteks negeri ini. 

Tambahnya, demikian juga khazanah balak yang bernilai berbilion ringgit serta sumber galian di hutan simpan langsung tidak boleh dimanfaatkan meskipun kerajaan negeri punyai bidang kuasa mengubah status hutan simpan berkenaan.

“Atas faktor yang saya sebutkan di atas dan bagi tujuan menjamin satu punca pendapatan yang wajar lagi adil kepada kerajaan negeri, adalah wajar Menteri Besar Muhamad Sanusi Md Nor melihat hal ini dengan serius.

“Perjuangkan kembali hal ini, duduk semeja dengan Perdana Menteri dan bentangkan kembali cadangan kepada kerajaan Pusat.

“Biarpun ia akan mengambil masa yang lama dan sulit, usaha perlu diteruskan supaya Kedah menikmati hak pendapatan yang adil seperti negeri lain yang mempunyai minyak,” katanya. – KG

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com