Friday, 29, March, 2024
Utama Politik Sultan Kedah penentu kedudukan kerusi MB di Kedah

Sultan Kedah penentu kedudukan kerusi MB di Kedah

oleh admin
Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah

ALOR SETAR – Perhatian ramai terutama rakyat negeri ini sekarang tertumpu kepada keputusan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bagi menentukan parti yang sah dan memilih Menteri Besar untuk menerajui kerajaan negeri.

Keadaan tersebut berlaku apabila kerajaan negeri sekarang yang melibatkan parti Bersatu-Pakatan Harapan (PH) dan pembangkang daripada Perikatan Nasional (PN) saling mendakwa mereka berkelayakan menerajui kerajaan negeri Kedah.

Pada hari ini, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, PN hanya boleh mencabar kedudukannya menerusi usul pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah iaitu dalam tempoh enam bulan selepas persidangan terakhir pada 16 April lepas.

Sehubungan itu, Mukhriz menegaskan bahawa beliau masih memegang jawatan Menteri Besar dan kerajaan Bersatu-PH pimpinan beliau masih utuh.

Mukhriz Mahathir

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri, Muhamad Sanusi Md Nor pada sidang media semalam pula mendakwa PN mempunyai 23 kerusi dan boleh membentuk kerajaan negeri yang baharu,.

Kedahgazette sebelum itu pula melaporkan pemimpin utama PN dijangka menghadap Sultan Kedah di Istana Anak Bukit pada Khamis atau Jumaat ini.

Dalam situasi sekarang, Sultan Kedah akan membuat keputusan dalam menentu parti yang berkelayakan menerajui negeri setelah meneliti semua keadaan termasuk undang-undang tubuh negeri.

Bekas Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah, Datuk Md Rozai Shafian menjelaskan, semua pihak harus bertenang dan biar proses undang-undang dilaksanakan dengan tertib dalam menentukan kedudukan kerajaan pimpinan Mukhriz.

Md Rozai Shafian

“Penukaran kerajaan negeri tidak berlaku macam guna TnG di tol lebuh raya. Ada protokol yang perlu dilalui dan dipatuhi. Rakyat Kedah hendaklah bersabar,” katanya.

Beliau memberitahu, negeri Kedah mempunyai undang-undang dan Precedent Kes yg boleh dirujuk.

“Penasihat Undang-Undang Negeri Kedah perlu jelaskan kedudukan “Double SD” ADUN, adakah masih valid atau sah,” katanya.

Mukhriz hari ini mendedahkan kesemua ADUN PKR, Bersatu, Amanah dan DAP, sebelum ini telah menandatangani akaun sumpah (SD) menyokong beliau sebagai Menteri Besar.

Pada masa sama, Pas juga menyatakan dua ADUN PKR dan empat daripada Bersatu telah menyatakan sokongan kepada PN untuk membentuk kerajaan negeri baharu.

Md Rozai juga mencadangkan sekiranya ada krisis badan perundangan, sebaiknya ia diselesaikan dalam sidang khas DUN, ada usul ada perbahasan dan pengundian.

“Namun tradisi Negara dan Negeri, Raja Pemerintah dirujuk terlebih dahulu, kerana kuasa melantik Menteri Besar adalah hak Sultan.

“Setelah Baginda mengambil pertimbangan atas beberapa perkara pokok, termasuk berjumpa dengan ADUN secara tertutup untuk mendengar sendiri pendirian mereka.

“Jadi kurang manis bila time frame diberi kepada Tuanku Sultan untuk memberi titah keputusan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, proses yang terbaik adalah pemimpin tertinggi parti pembangkang memohon perkenan mengadap Sultan Kedah terlebih dahulu. – KG

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com