Friday, 29, March, 2024
Utama Umum MPC bantu kedah perkemas sistem pengurusan, efisien untuk kerajaan dan rakyat

MPC bantu kedah perkemas sistem pengurusan, efisien untuk kerajaan dan rakyat

oleh admin

ALOR SETAR – Kerajaan negeri akan memperkemaskan sistem pengurusan terutamanya melibatkan platfom digital bagi memudahkan hubungan antara rakyat dengan kerajaan seterusnya menjadikan urusan kedua-dua pihak lebih efisien.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ammar Dato’ Shaikh Mahmood Naim berkata, apabila transaksi dijalankan menggunakan platfom atas talian, ia dapat meningkatkan produktiviti serta pendapatan kerajaan negeri, selain menjadikan urusan lebih mudah dan cepat.

“Semua pihak perlu cepat beralih ke norma baharu selain menggunakan platfom digital agar dapat memberi kemudahan kepada penduduk tempatan dalam berurusan dengan kerajaan negeri.

“Sebagai contoh, dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, penjawat awam masih dapat menjalankan tugas menggunapakai teknologi serta melipat gandakan usaha bagi membantu rakyat terutamanya yang dalam kesusahan,” katanya ketika menjadi panel pada program Sembang Kedah Produktif secara dalam talian menerusi Webinar hari ini.

Program tersebut merupakan anjuran Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Wilayah Utara dengan kerjasama Kerajaan negeri Kedah yang bertajuk “Pasca Covid-19 : Bersediakah Kedah?”.

Moderator program itu adalah Pengarah MPC Wilayah Utara, Dr. Mazrina Mohamed Ibramsah.

Menyentuh program Kedah Produktif yang dijalankan dengan kerjasama antara MPC Wilayah Utara dan Kerajaan Negeri Kedah, Ammar memberitahu, pihaknya bersedia untuk menjalinkan lebih banyak kerjasama sebagai usaha meningkatkan produktiviti di negeri terbabit.

“Saya yakin dengan bantuan daripada pihak MPC, kita dapat menjalankan operasi dengan lebih lancar serta efisyen selain meningkatkan pendapatan negeri disamping dapat melaksanakan agenda pembangunan negeri dengan sebaik mungkin,” katanya.

Ammar berkata, inisiatif yang dijalankan dengan kerjasama dengan MPC tidak hanya tertumpu kepada penilaian prosedur sedia ada dan kemas kini peraturan baharu tetapi ia juga melibatkan banyak sektor antaranya bidang pertanian dan pengurusan.

“Penambahbaikan tersebut dilakukan kerana unjuran pelan pembangunan negeri ini telah berubah berbanding perancangan asal untuk mencapai sasaran. Pendekatan baharu dan sedikit perubahan dalam pelan pembangunan negeri ini akan dilakukan selaras dengan perkembangan semasa,” jelasnya.

Dalam perkembangan sama, Dr Mazrina berkata, pihak MPC Wilayah Utara akan terus mengadakan kerjasama dengan Kerajaan Negeri menerusi program Kedah Produktif yang melibatkan pelbagai sektor.

“Perubahan minda adalah penting dalam usaha menaiktaraf perkhidmatan apabila semua peraturan lama akan dinilai kembali sama ada ia masih relevan selain keupayaan menerima pendekatan baharu sebagai usaha memberikan perkhidmat terbaik,” katanya.

Dalam pada itu, Ammar berkata, Kerajaan negeri Kedah mengkaji semula pendekatan dalam pelaksanaan Pelan Pembangunan Kedah 2035 yang bakal menentukan hala tuju negeri dalam pelbagai bidang untuk tempoh 15 tahun akan datang berikutan kesan penularan wabak Covid-19.

Beliau berkata, kajian tersebut dilakukan kerana unjuran pelan pembangunan tersebut telah berubah berbanding perancangan asal untuk mencapai sasaran.

Menurutnya, pendekatan baharu dan sedikit perubahan dalam pelan pembangunan akan dilakukan selaras dengan perkembangan semasa.

Tambahnya, sebagai contoh dalam sektor pelancongan, kebiasaannya ia dijangka berkembang dengan perangkaan tertentu namun perkembangan sektor terbabit mungkin berubah dengan pendekatan yang berbeza.

“Bila berlaku (Covid-19), the new norm (norma baharu) itu sudah berbeza kerana unjuran yang kita dapat dahulu sudah berubah dan kita akan lihat semula.

“Walau bagaimanapun, kita mesti capai sasaran yang ditentukan tetapi dengan pendekatan baharu dan sedikit perubahan terhadap apa yang kita unjurkan dan perimeter yang kita tetapkan sebelum ini,” Katanya.

Maklumat tambahan boleh diperoleh dengan melayari laman sosial media Facebook Perbadanan Produktiviti Malaysia Wilayah Utara. – KG

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com