Thursday, 25, April, 2024
Utama Politik Benarkah 23 ADUN dijangka menghadap Sultan Kedah minggu depan?

Benarkah 23 ADUN dijangka menghadap Sultan Kedah minggu depan?

oleh Wartawan Kedah Gazette

ALOR SETAR – Spekulasi panas mengenai berlakunya pertukaran kerajaan negeri Kedah pada minggu depan semakin merebak apabila heboh diperkatakan dalam kalangan penduduk tempatan dan pemerhati politik dari seluruh negara.

Di media sosial telah tersebar cerita mengenai 23 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Kedah daripada gabungan parti yang baru dibentuk dijangka menghadap Tuanku Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah pada bulan Ramadan ini.

Menurut sumber, kumpulan ADUN yang menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) di peringkat Pusat itu didakwa akan memasuki Istana Anak Bukit, Alor Setar bagi mempersembahkan cadangan nama Menteri Besar Kedah yang baharu.

Katanya, difahamkan ADUN berkenaan membabitkan anggota Pas (15 kerusi), BN-UMNO (dua kerusi), Bersatu (empat kerusi) dan PKR (dua kerusi).

“Bagaimanapun setakat ini, tiada pengesahan mengenai dakwaan itu daripada mana-mana pemimpin parti yang dikatakan menubuhkan gabungan parti baharu tersebut,” katanya.

Pada masa ini, Kedah mempunyai 36 kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Pas (15 kerusi), Bersatu (enam kerusi), BN (dua kerusi), Amanah (empat kerusi) dan DAP (dua kerusi).

Sumber itu memberitahu, difahamkan setakat ini calon menteri besar baharu itu adalah daripada anggota Pas.

“Difahamkam ada dua nama yang disebut-sebut sebagai calon Menteri Besar Kedah yang baharu.

“Dua nama tersebut adalah Timbalan Pesuruhjaya I Pas Kedah yang juga ADUN Jeneri, Muhammad Sanusi Md Nor dan Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kedah juga ADUN Tokai, Datuk Dr. Mohd Hayati Othman,” katanya lagi.

Muhammad Sanusi
Dr. Mohd Hayati

Sumber tersebut menambah, walaupun terdapat khabar angin anggota daripada Bersatu sebagai calon menteri besar tetapi ia tidak mungkin berlaku.

Sementara itu, kebanyakan penduduk di negeri ini didapati cukup teruja dengan isu pelantikan Menteri Besar Kedah baharu bagi menggantikan Datuk Seri Mukhriz Mahathir sekiranya kerajaan gabungan Bersatu dan Pakatan Harapan (PH) berjaya ditumbangkan lebih awal.

Ada dalam kalangan penduduk secara sinis bertanya: “Tak kan Mukhriz tak sempat sambut Hari Raya Adilfitri di Sri Mentaloon?”

Harap penduduk di Kedah bertenang dan sabar menunggu perkhabaran yang terbaik itu.

Mukhriz Mahathir

Dalam pada itu, hasil tinjauan kedahgazette.com pula mendapati kebanyakan rakyat di Kedah menyambut baik gabungan parti baharu itu memandangkan kerajaan negeri yang diterajui Mukhriz selama ini gagal memerintah negeri ini dengan baik.

Netizen di media sosial pula setiap hari meluahkan kekecewaan ke atas kerajaan negeri gandingan Bersatu dan PH yang begitu lemah menguruskan negeri ini selepas memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu.

Kelemahan yang paling ketara kerajaan negeri didapati gagal menguruskan bantuan kepada penduduk di negeri ini yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang wabak COVID-19 sejak berkuat kuasa pada 18 Mac lalu.

Malah sebelum ini, Pesuruhjaya Pas Negeri Kedah, Ustaz Ahmad Yahaya pula menegaskan kepincangan dan perpecahan yang berlaku dalam PH Kedah sukar dikawal lagi serta memperlihatkan kelemahan gabungan itu dalam mengurus tadbir negeri Kedah.

Menurutnya, Mukhriz sekarang juga bukan lagi Pengerusi PH Kedah lagi apabila beliau hanya mampu melihat tanpa berhak mencatur pergerakan ADUN daripada PKR kerana dari sudut gabungan, PKR dan Bersatu tidak lagi sehaluan.

Sekiranya spekulasi ini menjadi kenyataan, ia akan mejadi sejarah baru di Kedah kerana Mukhriz bukan sahaja dua kali dilantik sebagai menteri besar tetapi kedua-duanya tidak sampai sepenggal pemerintihannya kerana digulingkan lebih awal.

Kali pertama beliau memegang jawatan itu adalah selepas pilihan raya umum 2013.

Namun, selepas bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad lantang menyerang perdana menteri ketika itu Datuk Seri Najib Razak bersabit skandal 1MDB, Mukhriz didesak meletak jawatan. – KG

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com