Mukhriz dirayu bantu keluarga miskin di DUN Jitra

5965
Keadaan sebuah rumah dalam keadaan usang yang dihuni sebuah keluarga di Jitra.

JITRA – Pertubuhan Barakah Malaysia merayu Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra membantu sebuah keluarga miskin yang tinggal di belakang pasar raya Yawata di sini.

Bendahari pertubuhan itu, Rafed Ismail memberitahu, keluarga tersebut menyewa sebuah rumah yang sungguh menyedihkan dan tiada tandas.

Katanya, pertubuhan itu pernah memberi bantuan barangan makanan dan bantuan lain secara berkala.

Rafed Ismail

Masalah yang kami tidak dapat atasi ialah menyelesaikan isu kediaman keluarga ini,” katanya yang dipetik daripada ciapan pemilik akaun Facebook yang bernama Man semalam.

Pada ciapan itu, pemilik akaun Facebook itu juga memuat naik gambar dan video keadaan rumah sewa yang dihuni keluarga tersebut.

Pada masa sama, beliau meminta penceramah terkenal, Ustaz Ebit Lew dan masyarakat di Kedah melawat keluarga teramat miskin itu.

Rafed memberitahu, keluarga tersebut difahamkan telah berkali-kali cuba mendapat pertolongan tetapi tiada pihak yang tampil membantu.

“Semoga ADUN Jitra yang juga Menteri Besar Kedah dapat turun padang mengatasi masalah di kawasan beliau,” katanya lagi. – KG