Friday, 29, March, 2024
Utama Negeri Kerajaan Kedah digesa rangka, laksana pelan rangsangan khas industri pelancongan

Kerajaan Kedah digesa rangka, laksana pelan rangsangan khas industri pelancongan

oleh Wartawan Kedah Gazette

LANGKAWI – Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Langkawi menggesa kerajaan negeri Kedah dapat merangka dan melaksanakan satu pelan rangsangan khas kepada pemain-pemain industri pelancongan di pulau peranginan ini.

Ketuanya, Ahmad Marzuki Shari’at berkata, pelan rangsangan khas itu perlu dilaksanakan untuk membantu pemain-pemain industri pelancongan yang terjejas akibat wabak COVID-19.

Menurutnya, usaha tersebut penting bagi memastikan pemain-pemain industri mampu terus berada di dalam industri berkenaan.

Ahmad Marzuki

“Langkawi satu nama yang gah antara pulau pelancongan yang hebat di dunia, jasa dan pengorbanan pemain-pemain industri yang terlibat secara langsung atau tidak langsung haruslah diberi perhatian yang sewajarnya.

“Mereka adalah antara watak penting yang menjadikan Pulau Langkawi sebagai sebuah pulau yang hebat di mata dunia. Mereka juga antara penyumbang terbesar kepada pendapatan negeri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ahmad Marzuki berkata, Kedah yang diperintah kerajaan Pakatan Harapan dan PPBM masih belum menampakkan kesungguhan dalam membantu pemain-pemain industri itu terutamanya di Langkawi.

Tambahnya, pakej rangsangan yang dibuat oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir didapati masih samar dan meragukan.

“Maklumat yang jelas tidak sampai kepada rakyat dengan tepat. Rakyat masih mencari-cari apakah yang perlu dilakukan,” katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan kerajaan negeri Kedah memperuntukkan RM21 juta sebagai inisiatif membantu rakyat yang terkesan sepanjang tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung wabak COVID-19.

Mukhriz mengumumkan terdapat sembilan perkara digariskan sebagai tindakan segera yang diambil dalam meringankan beban rakyat sepanjang tempoh itu. – KG

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com