Saturday, 27, April, 2024
Utama Negeri Belanja duit BPN beli dadah

Belanja duit BPN beli dadah

oleh Wartawan Kedah Gazette

LANGKAWI – Seorang lelaki sanggup membelanjakan duit yang diterima hasil daripada Bantuan Prihatin Nasional (BPN) untuk mendapatkan bekalan dadah sebelum dijual kepada penagih dadah lain di pulau peranginan itu.

Polis Langkawi dalam satu kenyataan berkata, suspek berbangsa Melayu ditangkap ketika sedang menanti pelanggan di sebuah kawasan kebun getah Kampung Lubuk Setol, Mukim Kuala Teriang di sini kira-kira pukul 1 pagi semalam.

Suspek beli dadah guna duit BPN

Menurutnya, lelaki itu ditahan oleh sepasukan Polis Langkawi yang menjalankan rondaan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang COVID-19.

“Hasil soal siasat, suspek mengaku membelanjakan duit bantuan kerajaan (BPN) bagi mendapatkan bekalan untuk dijual pula kepada penagih-penagih dadah lain.

“Suspek juga mengaku membekalkan dadah kepada penagih-penagih sejak lima bulan yang lalu,” katanya dalam kenyataan yang dimuatnaik dalam Facebook Pols Langkawi hari ini.

Sebahagian dadah yang dirampas daripada seorang lelaki di Langkawi semalam.

Tambah kenyataan itu, hasil tangkapan suspek, polis merampas 3 paket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah heroin anggaran berat 11.75 gram yang bernilai lebih kurang RM500 dan (6) keratan straw berisi bahan disyaki dadah heroin anggaran berat 3.84 gram bernilai lebih kurang RM 300.

“Suspek ditangkap di bawah Seksyen 39B ADB 1952 dan Seksyen 11(1)PPP&PPB 2020 dan ditahan reman untuk siasatan lanjut,” katanya. – KG

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com