Thursday, 25, April, 2024
Utama Nasional Program Transformasi Digital Untuk SMEs secara online capai objektif tingkat produktiviti

Program Transformasi Digital Untuk SMEs secara online capai objektif tingkat produktiviti

oleh Wartawan Kedah Gazette

PULAU PINANG – Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Wilayah Utara berbangga dengan pencapaian objektif penganjuran Program Transformasi Digital Untuk SMEs secara online menerusi platform webinar apabila berjaya menarik penyertaan lebih 3,000 peserta.

MPC Wilayah Utara dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini memaklumkan program yang diadakan dengan kerjasama Retail and F&B Productivity Nexus (RFBPN) berlangsung dari Jumaat lalu hingga hari ini.

Salah satu perbincangan yang berlangsung pada Program Transformasi Digital Untuk SMEs secara online menerusi platform webinar.

Menurut kenyataan itu, program tersebut menyediakan banyak input baharu yang dapat dipelajari oleh peniaga dan peruncit untuk memantapkan dan meningkatkan produktiviti perniagaan mereka.

Selain itu, katanya, program itu mewujudkan kesedaran tentang keperluan untuk berubah ke arah perniagaan digital dan membantu proses operasi perniagaan secara digital.

“Program tersebut juga menggalakkan ‘business matching’ di antara pembekal perkhidmatan digital dengan usahawan dengan teknik dan pendekatan yang disampaikan oleh pembentang antaranya mengenai Digital Pemasaran, Penghantaran Melalui Digital Platform, eMarketplace, e-Dompet dan e-Bayaran.

“Perkongsian maklumat ini telah disampaikan oleh beberapa pembekal perkhidmatan pemasaran digital terkenal antaranya Shopee Malaysia, Avana, Boost, PayNet, JD MAS, MyCar, VTPonline.my dan GoShareLah,” katanya.

Tambah kenyataan, Ketua Pengarah MPC, Datuk Abdul Latif Abu Seman ketika berucap pada program itu pada Sabtu lalu sebagai berkata, kewujudan pelbagai segmen e-dagang di Malaysia telah mengubah landskap gaya membeli-belah di kalangan rakyat negara ini.

Ketua Pengarah MPC, Datuk Abdul Latif Abu Seman menyampaikan pada Program Transformasi Digital Untuk SMEs yang diadakan secara online menerusi platform webinar pada Sabtu lalu.

Abdul Latif menambah, perubahan ini membantu dan menggalakkan perkembangan yang sihat di mana lahirnya begitu ramai usahawan alaf baharu di atas talian di segenap lapisan masyarakat iaitu dikalangan pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi, suri rumah, belia-belia manakala, peniaga-peniaga yang sedia ada mula beralih daripada off-line kepada on-line.

“Perkembangan ini memberikan prospek cerah khususnya terhadap pembangunan ekonomi digital. Malah, Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 juga turut menggariskan kepentingan ekonomi digital sebagai pemacu kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia,” kata Abdul Latif.

Kenyataan itu menambah, ramai peserta didapati mengambil peluang daripada arahan Perdana Menteri, Tan Sri Muhiyiddin Yassin, ‘StayAtHome’ sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk mengikuti program tersebut selama 4 hari berturut-turut.

“MPC Wilayah Utara dan RFBPN mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang membantu mempromosikan program ini kepada usahawan-usahawan.

“Terima kasih juga diucapkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang,
Datuk Abdul Razak Jaafar, Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Ammar Shaikh Mahmood Naim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Azman Mohd Yusof dan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim,” tambahnya. – KG

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com