Wednesday, 24, April, 2024
Utama Negeri Pas Kedah rayu kerajaan bawa pulang 5 rakyat Malaysia terkandas di Chad

Pas Kedah rayu kerajaan bawa pulang 5 rakyat Malaysia terkandas di Chad

oleh Wartawan Kedah Gazette

ALOR SETAR – Pas Kedah merayu kerajaan berusaha membawa pulang lima rakyat Malaysia yang terkandas ketika melakukan misi kemanusiaan dan penghantaran naskhah al-Quran ke negara Chad baru-baru ini.

Pesuruhjaya Pas Kedah, Ustaz Ahmad Awang berkata, lima rakyat Malaysia terbabit merupakan sukarelawan Yayasan Amal Malaysia yang merupakan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang sah dan berdaftar.

Menurutnya, mereka melakukan misi kemanusiaan tersebut pada 10 Mac lalu iaitu sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada 18 Mac.

“Mereka dijangka pulang pada 19 Mac 2020, namun akibat pandemic Covid-19 yang melanda dunia, mereka terkandas di negara berkenaan.

“Perkara juga itu telah dimaklumkan oleh NGO berkenaan kepada pihak Wisma Putra,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Ustaz Ahmad Awang

Pada masa sama, Ahmad berkata, Pas Kedah melahirkan rasa simpati terhadap kesemua sukarelawan tersebut dan meminta pihak keluarga mereka bersabar dalam menghadapi situasi berkenaan.

“Pas Kedah merayu supaya usaha membawa pulang lima rakyat Malaysia tersebut diberi perhatian, malah disegerakan.

“Ini memandangkan laluan pulang melalui penerbangan biasa melalui kebuntuan akibat pandemic Covid-19 yang melanda dunia,” katanya.

Beliau menambah, Pas yakin kemampuan kerajaan Malaysia dalam menangani permasalahan rakyat Malaysia di luar negara. – KG

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com