Saturday, 20, April, 2024
Utama Negeri Pemuda UMNO Padang Terap nafi penduduk Kampung Lebai Saman sukar dapat makanan

Pemuda UMNO Padang Terap nafi penduduk Kampung Lebai Saman sukar dapat makanan

oleh Wartawan Kedah Gazette

PADANG TERAP – Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Padang Terap menolak dakwaan portal Free Malaysia Today (FMT) yang melaporkan kononnya 500 penduduk di Kampung Lebai Saman di sini sukar mendapat makanan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan sejak 18 Mac lalu.

Ketuanya, Jasnizam Husni berkata, penduduk di kampung berkenaan mendapat bantuan segera daripada pelbagai agensi termasuk peruntukan yang diluluskan Ahli Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Katanya, pihak FMT sewajarnya melakukan ‘cross-check’ dengan pihak-pihak yang berkenaan supaya tidak memberi persepsi yang salah berbanding apa yang sebenarnya berlaku.

“Bantuan-bantuan bungkusan keperluan asas yang berjumlah lebih daripada 11,000 bungkusan ini telah diedarkan kepada seluruh kawasan dalam Parlimen Padang Terap, termasuklah Kampung Lebai Saman yang mempunyai 150 buah keluarga,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

SUKARELAWAN Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Padang Terap menyampaikan sumbangan kepada seorang penduduk, Sang Klim A/P See Rak di Kampung Lamdin, Naka, kuala Nerang, Padang Terap hari ini.

Jasnizam berkata, antara pihak yang menyalurkan bantuan tersebut adalah Pejabat Parlimen Padang Terap yang telah mengagihkan lebih 5,000 bungkusan yang mengandungi keperluan asas seperti beras, minyak, sardin, susu pekat, gula, dan kopi kepada penduduk terjejas.

“Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat yang menyediakan lebih daripada 2000 bungkusan keperluan asas melalui Pejabat Parlimen Padang Terap dan Pejabat Daerah Padang Terap.

“Ucapan terima kasih juga kepada Pejabat Zakat Negeri Kedah yang turut sama menyalurkan 3300 bungkusan keperluan asas.

“Terima kasih juga kepada Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan orang perseorangan yang telah menyumbang lebih daripada 1,000 bungkusan keperluan asas,” katanya lagi.

Pada masa sama, tambahnya, parti-parti politik seperti UMNO dan PAS turut menyalurkan bantuan bungkusan keperluan asas kepada penduduk di Parlimen berkenaan.

FMT pada 11 April lalu melaporkan seramai 500 penduduk di Kampung Lebai Saman di Kuala Nerang, Kedah didakwa menghadapi kesukaran untuk meneruskan kehidupan berikutan pelaksanaan PKP bagi menyekat penyebaran wabak Covid-19.

Seorang penduduk Mohd. Amin Yaakob berkata, beliau yang pulang ke kampung melihat rata-rata penduduk berdepan keadaan yang cukup getir, termasuk tiada punca pendapatan kerana 90% daripada mereka bekerja sebagai penoreh getah dan menerima gaji harian.

Lebih menyedihkan katanya, penduduk kampung susah mendapat makanan. – KG

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com