Friday, 29, March, 2024
Utama Nasional Pas Kedah ucap terima kasih kepada PM, kerajaan PN

Pas Kedah ucap terima kasih kepada PM, kerajaan PN

oleh Wartawan Kedah Gazette

ALOR SETAR – Pas Kedah mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) atas kesungguhan membantu rakyat menerusi pakej rangsangan ekonomi rakyat ekoran berdepan penyakit pandemik COVID-19.

Pesuruhjaya Pas Kedah, Ahmad Yahaya berkata, rakyat menyambut dengan penuh gembira dan bersyukur ke Hadrat-Nya dengan pengumuman 21 terma dalam pakej rangsangan ekonomi itu.

Ahmad Yahaya

“Pas Kedah merakamkan setinggi-tinggi rasa kesyukuran ke Hadrat Ilahi atas ilham terbaik dan keputusan tepat kerajaan dalam merangsang ekonomi rakyat ekoran berdepan penyakit pandemik COVID-19.

“Meskipun rata-rata jiwa rakyat di dalam derita ekoran pelbagai perkara negatif berlaku seputar diri dan keluarga terutamanya Perintah Kawalan Pergerajan (PKP), namun pengumuman pakej rangsangan ekonomi itu menghilangkan dukacita, sengsara dan nestapa rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini petang ini.

Sebentar tadi, Muhyiddin mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat bernilai RM250 bilion yang memberi manfaat kepada semua lapisan rakyat.

Dapada jumlah itu, beliau berkata, sebanyak RM128 bilion disalurkan untuk melindungi kebajikan rakyat, RM100 bilion untuk menyokong perniagaan termasuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan RM2 bilion memperkukuhkan ekonomi negara.

Pada masa sama, Ahmad berkata, seiring dengan kerajaan prihatin, rakyat juga perlu cakna kepada yang memerlukan.

“Di masa sama pertingkatkan sifat tolong menolong serta membantu kepada jiran tetangga dan mereka yang memerlukan,” katanya. – MG

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com