Friday, 26, April, 2024
Utama Umum Al Haddad labur RM7 juta bina kilang baharu

Al Haddad labur RM7 juta bina kilang baharu

oleh Wartawan Kedah Gazette
Ilustirasi bangunan kilang baharu Al Haddad yang mengambil konsep seni bina Alhambra yang terkenal di Sepanyol.

SUNGAI PETANI – Syarikat pengeluar produk minuman halal bumiputera, Al Haddad
Manufacturing Sdn. Bhd. (Al Haddad) melabur RM7 juta untuk membangunkan sebuah kilang pengeluaran baharunya yang berkonsepkan kompleks sehenti di Kawasan Perusahan Kejora sini.

Pengarah Urusannya, Syed Salahuddin Syed Mahayadin berkata, kilang baharu tersebut yang terletak di kawasan seluas 0.4 hektar turut menempatkan pejabat pentadbiran, galeri dan pusat jualan produk keluaran syarikat.

Menurutnya, pembinaan bangunan kilang itu bercirikan keislaman dengan mengambil konsep seni bina Alhambra yang terkenal di Sepanyol itu bakal menjadi satu lagi mercu pembangunan kilang milik bumiputera di Utara tanah air.

Katanya, ia bukan sahaja menjadi pusat pengurusan dan pengeluaran syarikat tetapi boleh dijadikan sebagai destinasi pelancongan untuk menarik minat pelancong luar melawat galeri yang mempamerkan pelbagai produk keluaran syarikat.

Syed Mohd. Mahayadin Anuar (tengah) bergambar bersama kakitangan Al Haddad selepas merasmikan majlis pecah tanah kilang baharu di Sungai Petani baru-baru ini.

“Kami melabur kira-kira RM7 juta untuk pembelian tanah dan pembangunan kompleks kilang ini dan dijangka mula beroperasi pada akhir tahun 2021,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis pecah tanah kilang baharu itu di sini baru-baru ini.

Majlis pecah tanah kilang baharu itu disempurnakan oleh Penasihat Kumpulan Al Haddad, Datuk Syed Mohd. Mahayadin Anuar Syed Akil.

Turut hadir Pengarah Al Haddad, Syed Ageel Syed Mohd. Mahayadin.

Antara produk utama keluarannya ialah Tamar Cocoa, Malt-Iq, Tamar Arabica Coffee, Tamar Teh Hijau Latte dan Tamar Teh Tarik.

Al Haddad memulakan operasi perniagaannya pada tahun 2014 di tapak asalnya di Kedah Halal Park Fasa 2, Kawasan Perindustrian Sungai Petani di sini.

Syed Salahuddin menjelaskan, melalui pembinaan kilang baharu itu, syarikat berkeupayaan untuk meningkatkan kapasiti pengeluarannya kepada 50 tan sebulan berbanding kira-kira 10 tan pengeluaran di kilang sedia ada.

Tambahnya, perolehan jualan juga dijangka bertambah kepada RM10 juta sebulan berbanding sekitar RM3 hingga RM5 juta sebulan.

“Ini disumbangkan daripada pertambahan pengeluaran produk dikilang baharu ini dan juga inisiatif kami mengeksport produk ke luar negara juga akan meningkat.

“Pasaran sedia ada kami ialah China, Thailand dan Indonesia tetapi kini ia bakal diperluaskan kepada rantau Balkan, Timur Tengah dan juga ke Afrika,” jelasnya.

KG

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com