Saturday, 20, April, 2024
Utama Gaya HidupDestinasi Kerahsiaan Pulau Tuba masih banyak yang belum dirungkai

Kerahsiaan Pulau Tuba masih banyak yang belum dirungkai

oleh Wartawan Kedah Gazette

PULAU Tuba yang terletak di sebelah Pulau Langkawi merupakan sebuah pulau kecil yang tersembunyi banyak keistimewaan yang sukar dicari pada hari ini.

Pulau seluas 17.63 kilometer persegi dan dihuni hampir 5,000 penduduk itu terletak kira-kira lima kilometer di selatan Langkawi dan bersebelahan Pulau Dayang Bunting, Langkawi, Kedah.

Perjalanan Pulau Tuba dari Pulau Langkawi adalah melalui bot penumpang yang disediakan di Jeti Kedah Marble bersebelahan Terminal Feri Penumpang Kuah dan Jeti Pelancongan Pekan Rabu, juga di Kuah.

Tambang yang dikenakan adalah sebanyak RM5 seorang untuk perjalanan yang memakan masa kira-kira 10 minit, bagaimanapun bot hanya akan bergerak sebaik sahaja penumpang sudah penuh.

Keistimewaan Pulau Tuba adalah suasananya yang damai dan menenangkan dengan landskap muka bumi menghijau selain kehidupan masyarakat kampung yang serba ringkas bagai berada pada tahun 80-an.

Pengunjung Pulau Tuba boleh menikmati pelbagai permandangan indah, selain boleh menjalankan aktiviti di laut.

Rata-rata masyarakat kampung di pulau berkenaan bekerja sebagai nelayan dan penoreh getah, tidak kurang juga yang hanya melakukan kerja kampung untuk menyara kehidupan.

Apa yang menarik, pelancong yang berkunjung ke Pulau Tuba boleh menikmati pelbagai pemandangan indah seperti aktiviti nelayan di pesisiran pantai dan melihat Langkawi termasuk Pulau Tuba dari puncak Bukit Botak selain keindahan pantai yang masih terpelihara.

Antara lokasi yang boleh dikunjungi pengunjung yang ingin menghayati keindahan pulau tersebut adalah di Jeti Teluk Puyuh, Tanjung Pandan selain jeti terpanjang di pulau tersebut.

Keriangan sekumpulan kanak-kanak lelaki mandi-manda di laut termasuk terjun dari pelantar jeti selain pemandangan kawanan kerbau di kawasan sawah yang kini dijadikan padang ragut turut mewarnai suasana di Pulau Tuba.

Bilangan kenderaan juga terhad yang mana rata-rata penduduk di situ hanya menggunakan motosikal dalam urusan harian.

Pengunjung boleh menyewa motosikal yang disediakan pengusaha chalet dan inap desa pada harga antara RM20 hingga RM25 sebuah.

Menurut seorang penduduk tempatan, Shahidan Hashim, Pulau Tuba semakin dikenali ramai dan kini menjadi tumpuan pengunjung yang kebanyakkannya merupakan penduduk Pulau Langkawi.

“Seperti yang kita tahu, Pulau Langkawi sememangnya terkenal sebagai antara destinasi pelancongan terbaik di dunia yang sudah pasti dihimpit dengan pembangunan dengan gaya hidup moden.

“Jadi, ramai penduduk Langkawi yang berkunjung ke Pulau Tuba untuk cari kedamaian dengan kehidupan yang lebih tenang selain menikmati makanan laut yang segar dan lebih murah,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Kata beliau, kebanyakkan pengunjung akan bermalam di chalet-chalet dan homestay yang semakin bertambah di Pulau Tuba dan pulau bersebelahan, Pulau Dayang Bunting pada Khamis hingga Sabtu.

“Kebanyakkan pengunjung tidak melepaskan peluang melakukan pelbagai aktiviti yang ditawarkan di kawasan berhampiran pulau seperti menyusuri hutan paya bakau, memancing ikan dan mencandat sotong,” ujarnya.

Tambahnya, Gua Wang Lebah dan Gua Wang Buluh yang mempunyai formasi gua batu kapur yang menarik juga menjadi antara lokasi tumpuan pengunjung.

Peniaga gerai makan, Siti Rohani Mohd. Yusof berkata, selain memiliki pemandangan yang indah, Pulau Tuba juga mempunyai penduduk yang ramah dan mudah mesra.

“Kalau bersembang mesti rasa seperti sudah lama kenal dan layanan baik daripada penduduk kampung ini turut menjadi daya penarik sektor pelancongan di sini,” katanya.

Menurutnya, Pulau Tuba mula dikunjungi ramai pengunjung sejak Resort NOBA yang terletak di Pulau Dayang Bunting dibuka kira-kira lima tahun lalu.

“Resort NOBA terletak berhampiran jambatan yang menghubungkan antara Pulau Dayang Bunting dan Pulau Tuba, jadi ramai yang menginap di sana datang ke pulau ini.

“Di Pulau Tuba juga banyak chalet dan inap desa yang menarik,” katanya sambil memberitahu pulau berkenaan juga menjadi pilihan penerbit filem dan drama untuk melakukan penggambaran. – KG

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com