Friday, 19, April, 2024
Utama Negeri Pelihara kubu British sebagai aset negeri

Pelihara kubu British sebagai aset negeri

oleh Wartawan Kedah Gazette

Tentera British telah membina kira-kira 26 kubu pertahanan di sekitar Kedah untuk menjadi benteng utama dalam usaha mempertahankan Malaya daripada serangan tentera Jepun pada Perang Dunia Kedua pada tahun 1939.

Mengikut catatan sejarah, tentera Jepun telah menyusup masuk melalui jalan darat selepas mendarat di Songkhla, Thailand. Difahamkan kubu-kubu pertahanan itu mengambil masa kira-kira setahun dibina oleh jurutera diraja British dan strukturnya masih kukuh sehingga hari ini.

SALAH sebuah kubu British yang masih kekal di sebuah kampung di Jitra.

Bagaimanapun, penduduk tempatan lebih gemar menggelarkan kubu pertahanan itu sebagai kubu Jepun walaupun dibina tentera British. Namun, beberapa buah kubu tersebut telah dirobohkan untuk dibangunkan kediaman dan

Menurut Ketua Biro Kaji Selidik Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK), Dr. Mohd. Kasri Saidon, pendaratan tentera Jepun ketika itu berlaku dalam dua lokasi berbeza iaitu mendarat dengan kapal di Kuala Pak Amat di Kota Bharu, Kelantan.

Selain itu, katanya, tentera Jepun turut menyusup masuk melalui jalan darat setelah mereka mendarat di Songkhla, Thailand sebelum menceroboh Kedah melalui daerah Kubang Pasu.

Menurutnya, pertahanan tentera di Kedah ketika itu dikawal oleh Indian Briged dan tentera Britisih di bawah pimpinan Mejar Jeneral David Murray-Lyon.

“Persediaan awal sememangnya sudah dibuat British dengan menyediakan kubu pertahanan di Kubang Pasu terutama dalam cubaan mempertahankan lapangan terbang di Alor Setar.

“Di Kubang Pasu sendiri, terdapat puluhan kubu milik British yang dibina untuk menentang kemaraan tentera Jepun.

“Kesannya, Kedah menghadapi peperangan apabila berperanan sebagai benteng utama dalam mempertahankan seluruh Malaya ketika itu,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Mohd. Kasri memberitahu, antara pertempuran yang menarik dan meninggalkan sejarah tersendiri di Kubang Pasu ini adalah Pertempuran Jitra yang juga dikenali sebagai ‘Battle of Jitra’ pada 11 dan 12 Disember 1941.

Menurutnya, serangan tempur yang utama berlaku dalam Pertempuran Jitra adalah di selatan Changlun membawa sehingga ke pekan Jitra,” katanya.

Katanya, musim tengkujuh ketika itu menyebabkan sebahagian kubu di kawasan tanah pamah rendah dan kawasan sawah tidak dapat digunakan dengan efektif.

“Akhirnya, pertempuran ini berkesudahan dengan kekalahan teruk tentera British yang membolehkan mereka mara melalui Semenanjung Tanah Melayu tanpa diberikan tentangan berkesan sehinggalah membawa kepada kejatuhan Singapura pada 15 Februari 1842,”

Binaan kubu yang masih kukuh ini terselindung di sebalik kawasan perkampungan dan sawah padi.

Katanya, pihak PSMCK melihat sejarah Pertempuran Jitra ini sebagai satu babak serangan yang diketahui dunia, khususnya mereka yang mengkaji dari sudut keselamatan

Malah katanya, persatuan kini sedang menggerakkan biro kaji selidik untuk membuat proses pemetaan dan mengkaji struktur serta kedudukan kubu tersebut supaya ia dapat didokumentasikan sebagai aset negeri.

“Saya berpendapat kubu ini akan jadi satu tarikan kepada pelancong luar sekiranya sejarah peperangan khususnya Pertempuran Jitra ini dikomersialkan.

“Komitmen menjaga tinggalan sejarah tanggungjawab semua masyarakat, kerana aset ini adalah milik bersama dan asli,” katanya. – KG

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com